Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pesta Kaul Oya 2026 Perkasa Warisan Budaya Melanau

By 13 April 2026April 15th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad (Dalat)

OYA, 13 April (MalaysiaAktif) – Pesta Kaul Oya 2026, di sini hari ini menjadi platform strategik bagi memelihara adat resam dan warisan budaya masyarakat Melanau dalam memacu sektor pelancongan negeri.

Ibrahim memberikan penjelasan mengenai kepentingan penganjuran Pesta Kaul Oya sebagai usaha memelihara amanah warisan budaya generasi terdahulu di Tapak Kaul Oya.

Acara di Tapak Kaul Oya itu mengetengahkan kepelbagaian sosio-budaya setempat menerusi pengenalan tradisi, sukan rakyat serta pertandingan memasak masakan tradisional.

Ketua Kaum, Ibrahim Nua, 52, berkata penganjuran pesta tersebut merupakan kesinambungan amanah generasi terdahulu dalam memastikan warisan jati diri terus terpelihara.

“Matlamat kita tetap sama iaitu mengekalkan jati diri walaupun adakalanya diadakan dalam skala kecil di peringkat komuniti,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Nua menjelaskan beberapa aktiviti telah diinovasikan kepada bentuk yang lebih moden dan praktikal bagi menyesuaikan tradisi mengikut peredaran zaman.

Dalam pada itu, penganjuran pesta berkenaan turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil bagi memasarkan produk makanan tempatan dan kraf tangan kepada pelancong luar.

Penjaja, Sazujanawati Pawi, 44, berkata kehadiran pengunjung yang ramai pada tahun ini meningkatkan jualan harian berkali ganda berbanding hari biasa.

“Pesta ini menjadi lubuk rezeki buat kami selain membuka peluang untuk memperkenalkan produk kepada masyarakat luar daerah,” katanya.

Pesta tersebut turut menampilkan Showcase Lebuk Kaul yang mempamerkan muzik, permainan tradisional, busana dan perubatan warisan masyarakat Melanau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda