
Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/IPD Rompin
ROMPIN, 14 April (MalaysiaAktif) – Kecekalan, disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi membolehkan Pasukan Polis Daerah Rompin mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara berganda dalam Pesta Narik Udang Piala YB Mohd Fadzli yang berlangsung meriah di Pantai Hiburan, Kuala Rompin, di sini Sabtu lalu.

Pasukan Juara Berganda, Polis Rompin bergambar kenangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan Mohd Fadzli Mohd Ramly (empat dari kiri).
Lebih manis, pasukan itu bukan sahaja merangkul kejuaraan keseluruhan, malah turut menjuarai kategori Ikan Terberat sekali gus membawa pulang Piala Pusingan berserta wang tunai RM1,000.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt. Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata beliau berbangga dengan pencapaian tersebut dan menyifatkannya sebagai hasil komitmen padu seluruh pasukan.
“Kejayaan ini adalah hasil disiplin tinggi, semangat juang luar biasa serta kerjasama mantap yang dipamerkan oleh setiap anggota.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Polis Rompin atas pencapaian yang amat membanggakan ini,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama pasukan, malah turut memperlihatkan nilai kebersamaan yang menjadi teras kekuatan organisasi.

Antara hasil memukat udang yang berjaya dinaikkan oleh pasukan Polis Rompin sekaligus membawa pulang hadiah Juara Keseluruhan.
Program yang berlangsung bermula jam 1 tengah hari hingga 11 malam itu menyaksikan penyertaan pelbagai pasukan dari sekitar daerah ini, namun Pasukan Polis Rompin tampil cemerlang dengan aksi penuh bertenaga serta kerjasama erat untuk menewaskan pencabar lain.
Pesta tersebut juga turut mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat sekali gus mengukuhkan hubungan antara pihak polis dan masyarakat.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform menyatukan komuniti selain memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
-RI





