Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pupuk Budaya Amalan Derma Darah Kalangan Generasi Muda

By 5 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mathilda Sempon/Chong Fei Foo (Sarawak)

JULAU, 5 April (MalaysiaAktif) – Kempen Derma Darah anjuran Julau Life Care Society menjadi usaha memupuk amalan menderma darah khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan ini.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Julau itu bertujuan menambah bekalan darah di hospital dan klinik Bahagian Sarikei.

Ngieng Sii Ping (berdiri) bersama-sama dengan Sylvestine yang sering menyertai kempen derma darah di daerah Julau.

Inisiatif tersebut turut menggalakkan amalan menderma secara berkala selain menarik penyertaan penderma baharu dalam kalangan masyarakat setempat.

Pengerusi Julau Life Care Society, Ngieng Sii Ping berkata program itu menyasarkan sekurang-kurangnya 20 beg darah bagi menampung keperluan tabung darah.

“Terima kasih kepada para penderma yang sanggup luang masa dan tampil menderma darah sekali gus menjayakan program pada hari ini,” katanya ketika ditemui di Gereja Methodist Julau, di sini semalam.

Ngieng berharap jumlah kutipan beg darah pada kempen akan datang dapat melebihi sasaran yang ditetapkan.

Sementara itu, penderma, Sylvestine Banchang, 41, menggalakkan lebih ramai golongan belia tampil menyertai aktiviti tersebut bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

“Aktiviti ini bukan sekadar bantu tangani kekurangan bekalan darah, malah dapat semai rasa tanggungjawab belia untuk selamat nyawa orang lain,” katanya.

Usaha memupuk amalan tersebut perlu diteruskan secara konsisten agar menjadi budaya yang sebati dalam kehidupan masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda