
Laporan/foto: Hanafi Sariman
TASEK GELUGOR, 6 April (MalaysiaAktif) – Seramai 690 pelajar menyertai Acara Merentas Desa Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, di sini Jumaat lepas.

Bersemangat para peserta memanaskan badan sebelum memulakan acara merentas desa.
Program tahunan itu turut disertai beberapa sekolah jemputan iaitu SK Pasir Gebu, SK Hashim Awang, SK Padang Menora, SK Tok Bedu serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Malakoff.
Menurut Ahli Jawatankuasa Program Khairul Ekmal Roselee penganjuran acara tersebut bertujuan meningkatkan tahap stamina dan kecergasan pelajar, selain menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum melalui penglibatan sekolah pelbagai aliran.
“Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada kecergasan fizikal, malah menggalakkan interaksi antara pelajar daripada pelbagai latar belakang,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Petugas memastikan proses pendaftaran 690 peserta berjalan lancar dan teratur sebelum pelepasan acara.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Guru Besar SK Pokok Sena Mohd Efendy Manap bersama Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Utara Siti Hafsah Zainal Abidin serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah SPU Mohd Farhan Mohd Aizudin.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan melahirkan pelajar yang sihat, cergas dan bersatu padu.
-RI





