
Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS (Negeri Sembilan)
JEMPOL, 15 April (MalaysiAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan polisi hala tuju perumahan negeri yang tegas dan jelas sejak 2018 bagi melindungi hak pemilikan hartanah golongan B40 dan M40.

Ucapan Perasmian oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menteri Besar Dato’ Seri Utama Aminuddin berkata kerajaan negeri telah menetapkan syarat jelas bahawa 50 peratus daripada mana-mana pembangunan baharu wajib dikhususkan untuk rumah mampu milik.
“Hasilnya, puluhan ribu unit telah diluluskan. Bagi kita, kejayaan bukan pada jumlah projek yang diumumkan, tetapi berapa ramai rakyat yang dapat kita bantu untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci bagi 271 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Cassia, Bahau, di sini semalam.
Mengenai majlis tersebut, Aminuddin menyifatkan inisiatif penyerahan 116 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A dan 155 unit RMM Jenis B Taman Cassia sebagai satu pemerkasaan masa depan institusi kekeluargaan rakyat Negeri Sembilan.
“Hari ini bukan sekadar penyerahan kunci, tetapi penyerahan harapan kepada rakyat. Projek yang telah siap dan diserahkan di Taman Cassia ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memiliki rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki, tetapi selesa dan bermaruah untuk didiami,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima kunci RMM Jenis A, Mohd Faizal Ramli, 36, meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila impiannya untuk menyediakan kediaman sendiri buat isteri dan anak-anak akhirnya tercapai.
“Penantian kami sekeluarga bertahun-tahun untuk keluar dari rumah sewa menjadi realiti pada hari ini. Syukur alhamdulillah, inisiatif dan keprihatinan kerajaan negeri menetapkan harga yang benar-benar mampu milik memberi kelegaan besar buat golongan seperti kami.
“Pesanan Menteri Besar akan kami pegang erat; rumah ini adalah titik permulaan untuk kami membina keluarga yang lebih bahagia,” katanya.
-RI





