
Laporan/foto: Lina Shukri/Shafiq Rosidi (Perak)
IPOH, 27 April (MalaysiaAktif) – Sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi peringkat negeri Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), disambut meriah dan harmoni dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Dato’ A. Sivanesan, program tahunan anjuran Pertubuhan Kesejahteraan Masyarakat Sikh Perak (PKMSP) dengan kerjasama Gurdwara Sahib dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sikh negeri itu mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
“Komuniti Sikh di negeri Perak mempunyai 39 Gurdwara dan yang tertua di Malaysia terletak di Taiping.
“Walaupun komuniti ini merupakan golongan minoriti dalam kalangan masyarakat India namun mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” katanya pada sidang media, di sini kelmarin.
Sebanyak RM530,000 sumbangan telah disampaikan kepada beberapa Gurdwara Sahib dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sikh di seluruh negeri bagi peringkat awal tahun ini.
Kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negeri.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
-AA-





