
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Ranhill SAJ
JOHOR BAHRU, 27 April (MalaysiaAktif) – Penduduk Johor kini berpeluang menikmati pulangan tunai apabila membuat pembayaran bil air melalui saluran digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) bermula hari ini.
Melalui inisiatif hasil kerjasama antara Ranhill SAJ dan Ryt Bank, pengguna yang mengaktifkan akaun Ryt Bank serta melakukan pembayaran bil air minimum RM10.50 layak menerima pulangan tunai, dengan jumlah penjimatan sehingga RM6 dalam tempoh dua bulan berasingan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Mohd Hedzir Hanafi berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor.
Menurut beliau, peranan Ranhill SAJ bukan sekadar membekalkan air terawat yang selamat, malah turut berusaha memperbaiki kualiti kehidupan harian masyarakat.
“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan penjimatan yang lebih bermakna kepada isi rumah, di samping menggalakkan penggunaan pembayaran digital melalui aplikasi Ranhill SAJ,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, antara transaksi yang layak termasuk pembayaran digital menerusi ciri Snap & Pay (JomPAY) Ryt AI, pembayaran tanpa tunai menggunakan Kad Ryt melalui saluran pembayaran bersepadu serta pembayaran di kaunter Ranhill SAJ.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank Wilson Soon berkata kerjasama tersebut selari dengan usaha bank dalam menjadikan perbankan digital lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada rakyat.
“Langkah ini juga bertujuan menjadikan perbankan digital lebih relevan, intuitif dan mudah diakses oleh isi rumah di seluruh Johor,” katanya.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Ryt Bank untuk menyertai program pulangan tunai ini serta menikmati kemudahan pembayaran digital berasaskan AI.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang rasmi www.rytbank.my.
-AA





