Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

UKAS Peruntuk RM1 Juta Transformasi Kampung Tebuk Haji Dollah

By 27 April 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)

SELINSING, 27 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan dua projek utama melibatkan pembinaan jeti nelayan baharu dan Dataran Ketam di Kampung Tebuk Haji Dollah, di sini.

Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Muhammad Razman Abu Samah berkata projek berkenaan bertujuan membangunkan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar, selain berpotensi menjadi pusat pelancongan baharu di daerah Kerian.

“Lokasi kampung ini memiliki keunikan tersendiri dengan kedudukan geografi yang strategik serta kekayaan sumber semula jadi, khususnya hasil laut,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI, di sini kelmarin.

Beliau berkata keindahan kelip-kelip yang menjadi tarikan semula jadi di kawasan tersebut merupakan khazanah yang wajar dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari untuk menarik pelancong.

Sehubungan itu, Muhammad Razman berharap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk di mukim Selinsing dapat mengurus dan mengusahakan projek berkenaan dengan sebaik mungkin demi kelangsungan ekonomi setempat.

Antara aktiviti pelancongan yang ditawarkan di kawasan itu termasuklah memancing, menangkap ketam nipah dan udang galah, selain aktiviti melihat kelip-kelip serta jualan hasil laut segar.

-AA-

Tinggalkan komen anda