
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Muhammad Arief Hasbollah Amin (Terengganu)
MARANG, 24 April (MalaysiaAktif) – Pembinaan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Durian Guling, di sini dijangka menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan komuniti di daerah Marang.
Ketua Komuniti Durian Penjara Mohd Kasimi Musyarah berkata projek berkenaan membuka ruang kepada penduduk untuk meningkatkan taraf hidup melalui peluang ekonomi baharu.
“Dengan adanya stesen ini, kawasan sekitar dijangka berkembang pesat. Ia bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka peluang pekerjaan serta perniagaan kecil untuk komuniti setempat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Stesen yang dijangka siap dan mula beroperasi pada awal tahun hadapan itu bakal memperkukuh sistem pengangkutan awam di kawasan Pantai Timur dengan menyediakan jaringan rel yang lebih moden, cekap dan selesa kepada penduduk setempat.
Pembangunan bersepadu berkonsepkan Transit-Oriented Development (TOD) turut dirancang bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih tersusun, mesra pengguna dan berdaya maju.
Bagi penduduk Kampung Bukit Perpat, Timah Taib, 75, pembangunan stesen tersebut amat dialu-alukan kerana memberi kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
“Sebelum ini agak sukar untuk ke bandar atau kawasan lain, tetapi dengan adanya ECRL, perjalanan akan menjadi lebih mudah dan cepat. Kami juga berharap kemudahan lain seperti kedai dan klinik akan turut dibangunkan di sini,” katanya.
-FN





