
Laporan/foto: Kesai Andi (Tatau)
TATAU, 14 April (MalaysiaAktif) – Taman Komuniti Sungai Jatan, di sini yang dilengkapi fasiliti moden bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi yang selesa, malah menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Kemudahan seperti gelanggang bola keranjang berbumbung, taman permainan kanak-kanak serta kawasan lapang yang luas dan terancang membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan secara serentak selain susun atur yang sistematik dan selamat turut meningkatkan tahap keselesaan pengguna.
Seorang pengunjung, Lydia Matthew, 19, berkata kemudahan di taman tersebut memudahkan mereka menjalankan aktiviti riadah dengan selesa.
“Kemudahan di sini lengkap dan terjaga. Kami boleh bersukan, beriadah dan meluangkan masa bersama rakan serta keluarga dalam suasana yang selamat dan kondusif,” katanya kepada Malaysia Aktif di sini semalam.
Menariknya, taman komuniti ini turut menjadi lokasi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan seperti sukaneka, gotong-royong dan program kesihatan yang memanfaatkan kemudahan sedia ada.
Pembangunan dan penyelenggaraan berterusan infrastruktur di situ oleh pihak berkuasa dilihat mampu memperkukuh fungsi kawasan tersebut sebagai pusat rekreasi komuniti yang inklusif, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan pembangunan setempat.
-RJ-





