Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Tanah Organik Kemaman Inspirasi Usahawan Muda Pertanian

By 8 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Fikri (Terengganu)

KEMAMAN, 8 April (MalaysiaAktif) – Pengalaman dan minat mendalam dalam bidang pertanian telah menjadi asas kejayaan seorang usahawan muda tempatan dalam membangunkan perniagaan nurseri yang kian mendapat tempat di hati komuniti.

Bekas kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang, Muhammad Saupi Azuri, 29, membuktikan bahawa ilmu dan pengalaman yang ditimba mampu diterjemahkan kepada peluang perniagaan apabila beliau menubuhkan nurseri Tanah Organik Kemaman di Kampung Mak Chili, di sini.

Nurseri ini menjadi antara destinasi pilihan pekebun di sekitar Kemaman, bukan sahaja kerana variasi produk, tetapi juga khidmat nasihat yang mesra dan praktikal.

Menurut Saupi, selain memenuhi keperluan pelanggan, beliau turut membuka peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan dengan membekalkan anak pokok yang disemai kepada nurserinya.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi komuniti, malah menggalakkan lebih ramai terlibat dalam aktiviti pertanian,” katanya ketika ditemui di nurseri miliknya, baru-baru ini.

Nurseri tersebut kini menjadi antara destinasi pilihan penggemar berkebun di sekitar Kemaman, bukan sahaja kerana variasi produk, tetapi juga khidmat nasihat yang mesra dan praktikal.

Bermula Februari tahun lepas, perniagaan tersebut kini berkembang pesat dengan menawarkan pelbagai jenis anak pokok sayur-sayuran, buah-buahan, bunga, selain tanah tanaman dan keperluan berkebun.

Rahim Awang merupakan salah seorang pelanggan tetap Nurseri Tanah Organik Kemaman.

Antara tanaman yang mendapat permintaan tinggi termasuk cili, terung, tomato, kacang panjang renek, timun ulam dan bendi.

Menurut seorang pelanggan tetap, Rahim Awang, 46, beliau kerap mendapatkan bekalan anak pokok di situ.

“Pemilik sangat membantu dalam mendapatkan anak pokok terbaik. Sikap mesra dan kesediaan berkongsi tip tanaman membuatkan saya kerap berkunjung ke sini,” katanya.

Kejayaan Tanah Organik Kemaman membuktikan bahawa sektor pertanian moden mempunyai potensi besar sebagai kerjaya berdaya maju, khususnya dalam kalangan golongan muda, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda