Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Warong 60-an Tampil Nostalgia Unik, Tarikan ke Pokok Sena

By 22 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Pokok Sena)

POKOK SENA, 22 April (MalaysiaAktif) – Warong 60-an yang terletak di Taman Pertama terus menjadi tarikan pengunjung ke daerah ini apabila mengetengahkan konsep nostalgia era 1960-an.

Antara koleksi nostalgia yang terdapat di Warong 60-an.

Keunikan warong ini jelas terserlah sebaik sahaja pelanggan melangkah masuk apabila disambut dengan dekorasi klasik era 60-an yang lengkap dengan pelbagai koleksi antik, sekali gus memberikan vibes autentik kepada pengunjung.

Inisiatif ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada industri makanan tempatan di samping menyokong perkembangan ekonomi komuniti setempat.

Menurut pemilik, Abdul Syukur Abdul Rahman, 50, minat mendalam terhadap barangan lama mendorong beliau mengumpul pelbagai koleksi barangan lama yang kini menghiasi ruang kedai tersebut, sekali gus mewujudkan suasana unik yang mengimbau kenangan silam kepada pelanggan.

Hiasan ruang kedai mewujudkan suasana unik.

“Sejak dulu saya memang suka kumpul barang lama, jadi saya jadikan Warong 60-an ini sebagai tempat untuk berkongsi minat dan beri pengalaman berbeza kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Selain suasana yang menarik, warung yang telah beroperasi selama 10 tahun, dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang, Rabu hingga Ahad ini turut terkenal dengan menu istimewa atau seperti kuetiau ‘thing’ yang menjadi pilihan utama pelanggan, selain minuman unik air kasturi teh hijau yang menyegarkan.

Gabungan konsep nostalgia, minat pemilik serta hidangan istimewa menjadikan Warong 60-an ini bukan sahaja sekadar tempat menjamu selera, malah destinasi santai yang menghidupkan kembali kenangan lama dalam suasana moden.

-RI

Tinggalkan komen anda