
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 22 April (MalaysiaAktif) – Lebih 300 penjawat awam di daerah ini menyertai Seminar Aku Kasih Malaysia bagi memperkukuh kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam mendepani agenda reformasi negara di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, semalam.

Khairudin Abas menyampaikan ucapan perasmian pada Seminar Aku Kasih Malaysia Penjawat Awam Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan meningkatkan kesedaran penjawat awam terhadap kepentingan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 132 yang menyentuh kedudukan serta hak mereka dalam perkhidmatan awam.
Pengarah Bahagian Eksekutif AKM, Khairudin Abas, menegaskan penjawat awam perlu berbangga dalam melaksanakan amanah serta berkhidmat dengan penuh dedikasi demi masa depan negara.
“Setiap penjawat awam perlu mempunyai rasa kasih dan sayang yang mendalam terhadap negara serta bekerja dengan penuh iltizam demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Abdullah Yusoff menyampaikan taklimat berkaitan kepentingan kebersamaan, integriti dan keikhlasan dalam kalangan penjawat awam.
Sementara itu, Sahabat Penggerak MADANI (SPM) Negeri Johor, Abdullah Yusoff dalam taklimatnya menekankan kepentingan kebersamaan, integriti serta keikhlasan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Penjawat awam perlu sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan, berintegriti dalam setiap tindakan serta melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan agar perkhidmatan yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Penganjuran seminar ini dilihat mampu memperkasa penjawat awam dengan nilai kenegaraan yang kukuh selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-RI






