Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

187 Keluarga Terima Kediaman Lebih Selesa di Mak Mandin Indah

By 25 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hanafi Sariman (Pulau Pinang)

BUTTERWORTH, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 187 keluarga bakal menikmati kediaman lebih selesa apabila Projek Pangsapuri Mak Mandin Indah secara rasmi diserahkan kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Dato’ Seri Sundarajoo Somu berkata kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan LPNPP berjaya mempercepatkan proses penawaran rumah kepada rakyat melalui pendekatan “siap dan terus tawar”.

“Sehingga kini sebanyak 176,457 unit rumah mampu milik berjaya dibekalkan di bawah sasaran Penang2030, selain pelaksanaan skim Rent to Own (RTO) bagi membantu rakyat yang sukar mendapatkan pembiayaan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci unit kediaman berkenaan kepada penerima, di sini hari ini, selain penyerahan surat tawaran Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A kepada 29 penerima terpilih.

Projek Pangsapuri Mak Mandin Indah yang siap pada 3 April lalu dibina di lokasi strategik di Mak Mandin 5, Butterworth dan menawarkan 187 unit kediaman berkeluasan 650 kaki persegi.

Seorang penerima Ampegaiyammal Charmar, 39, berkata peluang memiliki rumah sendiri itu disifatkan sebagai titik perubahan besar dalam kehidupan keluarganya.

“Sebelum ini kami hanya menyewa rumah kecil dengan kos yang semakin meningkat. Bila dapat tawaran ini, memang rasa sangat bersyukur sebab akhirnya anak-anak dapat membesar di rumah sendiri yang lebih selesa,” kata ibu tunggal itu.

-FN

Tinggalkan komen anda