
Laporan / Foto : Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 6 Mei (Malaysia Aktif) — Seramai 23 individu menerima sijil pelantikan baharu serta pelanjutan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi Daerah Lingga dalam satu majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rh Baha, Lunchong, Tanjung Bijat, semalam.
Majlis penyerahan sijil berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang yang menegaskan bahawa pelantikan tersebut merupakan satu mandat penting bagi memperkukuh struktur kepimpinan di peringkat akar umbi demi memastikan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara.
“Tuai Rumah berperanan sebagai tonggak utama dalam memastikan kelancaran serta keberkesanan pentadbiran di setiap rumah panjang di bawah seliaan masing-masing.
“Pemimpin komuniti perlu memikul tanggungjawab bagi memastikan pentadbiran dijalankan secara teratur dan telus, selain bersikap proaktif dalam mengenal pasti keperluan penduduk serta mengutamakan agenda pembangunan,” katanya.
Tambah beliau, KMKK memikul amanah besar sebagai penghubung utama atau ‘jambatan’ antara rakyat dan kerajaan, khususnya dalam menyampaikan maklumat serta dasar-dasar terkini dengan tepat.
Dalam majlis yang sama, kerajaan Sarawak turut membuktikan komitmen dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan melalui penyaluran peruntukan berjumlah RM14,000 bagi kawasan Tanjung Bijat.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), manakala RM4,000 diperuntukkan kepada Biro Wanita Rumah Baha, Lunchong bagi membantu kepimpinan akar umbi melaksanakan program pembangunan komuniti dengan lebih efisien.
-RJ-





