
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Negeri Perlis masih berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah, berkata statistik terkini merekodkan seramai 2,890 individu terlibat dalam penagihan dan penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang sepanjang tahun 2025 di negeri itu.
Menurutnya, jumlah berkenaan mencatatkan kadar prevalens sebanyak 970 bagi setiap 100,000 penduduk, sekali gus menunjukkan ancaman dadah bukan lagi sekadar isu jenayah, malah turut menjadi isu kesihatan awam dan kesejahteraan sosial yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Semua jabatan, agensi serta pihak berkepentingan perlu terus memperkukuh sinergi strategik melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Perlis Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Seri Putra, semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah.
Dalam perkembangan sama, Zainuddin memaklumkan seramai 21,794 klien yang mengikuti program rawatan dan pemulihan dalam komuniti di seluruh negara berjaya mencapai status kekal pulih pada tahun lalu.
Katanya, kadar pemulihan klien AADK kini mencapai 81 peratus daripada keseluruhan 26,852 klien yang dinilai sepanjang tahun lepas.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa modul rawatan dan pemulihan AADK berada pada landasan yang tepat serta berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata, kadar pemulihan itu turut mengatasi pencapaian yang dilaporkan National Institute on Drug Abuse (NIDA) yang merekodkan kadar kepulihan antara 40 hingga 60 peratus.
Kejayaan tersebut menjadi bukti komitmen berterusan AADK dalam memperkasa pendekatan rawatan dan pemulihan berasaskan komuniti bagi membantu bekas penagih kembali menjalani kehidupan yang lebih produktif dan sejahtera.
-AA-





