
Laporan/foto: Aini Aziz/Albaihaki Awang (Terengganu)
AJIL, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) memperkenalkan AquaSprout, sebuah sistem pertanian pintar berasaskan Internet of Things (IoT) yang dibangunkan bagi membantu pengusaha agro meningkatkan produktiviti tanaman secara lebih cekap, moden dan lestari.
AquaSprout dibangunkan hasil kepakaran pensyarah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKT dengan memberi fokus kepada automasi pemantauan suhu, kelembapan dan sistem penyiraman benih taugeh secara masa nyata menggunakan aplikasi telefon pintar.
Teknologi yang mampu mengawal penyiraman secara automatik berdasarkan bacaan sensor bagi memastikan tanaman berada dalam keadaan optimum sepanjang masa itu membolehkan pengguna memantau keadaan tanaman secara terus tanpa pemeriksaan manual secara berulang.
Sistem tersebut diserahkan kepada komuniti di Ladang Ahnaflan Enterprise, Felda Jerangau, Ajil, di sini hari ini sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan komuniti setempat melalui pemindahan teknologi berimpak tinggi.
Menurut Pengarah PKT, Ts. Nadzri bin Che Kamis, pembangunan AquaSprout membuktikan institusi TVET kini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pembelajaran, malah menjadi pemangkin inovasi yang mampu menyelesaikan cabaran sebenar masyarakat dan industri.
“Penggunaan teknologi pintar dalam sektor pertanian amat penting bagi membantu pengusaha kecil meningkatkan hasil pengeluaran selain mengurangkan kos operasi dan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual.
“PKT sentiasa komited melahirkan inovasi yang bukan sahaja memberi nilai kepada pembelajaran pelajar, tetapi turut dapat dimanfaatkan terus oleh komuniti dan industri. AquaSprout adalah contoh bagaimana idea serta kepakaran warga TVET mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang membantu masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, projek seperti AquaSprout juga membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang automasi, IoT dan teknologi pertanian pintar yang kini semakin mendapat perhatian dalam sektor industri negara.
Sementara itu, penerima teknologi berkenaan menyambut baik usaha PKT memperkenalkan sistem pertanian pintar tersebut kerana ia dilihat mampu membantu pengusaha agro meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman selain menjimatkan penggunaan air dan masa operasi harian.
-FN





