Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Program Semarak Belia HBN Kota Tinggi Himpun 800 Belia

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Kira-kira 800 belia memeriahkan Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Kota Tinggi yang berlangsung di Kolej Professional MARA Bandar Penawar, hari ini.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Ruhisyam Ibrahim berkata, sambutan Hari Belia Negara merupakan acara tahunan yang berlangsung dari 1 hingga 15 Mei di peringkat daerah dengan membawa tema “Menggerak Belia”.

Menurutnya, pemilihan Kolej Professional MARA Bandar Penawar sebagai lokasi program dibuat kerana kawasan itu menjadi hab institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menempatkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMARA, Kolej Komuniti serta Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

“Pemilihan lokasi ini memberi peluang kepada pelajar dan belia sekitar Bandar Penawar untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Belia Negara di daerah Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program termasuk larian santai sejauh tiga kilometer, senamrobik Aerodance, pertandingan permainan tradisional seperti dam ular, dam aji dan batu seremban selain cabutan bertuah serta persembahan busker oleh pelajar kolej berkenaan.

Sementara itu, peserta program, Muhammad Hariy Isnin, 20, berkata penganjuran program tersebut memberi ruang kepada golongan belia mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat dan bermanfaat.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja merapatkan hubungan sesama belia malah membuka peluang untuk mereka lebih aktif menyertai aktiviti komuniti dan kesukarelawanan.

-FN

Tinggalkan komen anda