Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bekas Polis Terima Kerusi Roda Selepas Dua Dekad Berdepan Masalah Kesihatan

By 15 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Facebook Polis Daerah Bagan Datuk

RUNGKUP, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Selepas hampir dua dekad berdepan kesukaran bergerak akibat masalah kesihatan, seorang pesara polis kini mampu menjalani urusan harian dengan lebih mudah selepas menerima sumbangan kerusi roda di kediamannya di Kampung Sungai Haji Mohamad, di sini, baru-baru ini.

Isterinya, Saimah Sanit, 61, berkata keadaan kesihatan suaminya, Koperal (B) Ibeni Hajar Idris, 83, mula merosot sejak 2006 sehingga membataskan pergerakan dan memerlukan penggunaan tongkat untuk berjalan.

Menurutnya, bantuan kerusi roda yang diterima daripada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) itu bukan sahaja memudahkan pergerakan suaminya, malah membantu dirinya menguruskan keperluan harian dengan lebih selesa.

“Penggunaan kerusi roda ini banyak membantu terutama untuk bergerak dan memudahkan saya menjaganya setiap hari,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif.

Saimah berkata, suaminya memulakan perkhidmatan sebagai anggota polis pada 1965 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1995.

Katanya, sepanjang berkhidmat, suaminya bukan sahaja menjalankan tugas menjaga keselamatan negara malah aktif dalam sukan badminton dan pernah mewakili Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dalam kejohanan badminton di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Supt. Mohammad Ali Mohd Jali berkata lawatan kebajikan ketika penyerahan sumbangan itu turut menjadi medium menyantuni pesara polis selain bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan penerima.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan berterusan pihak polis terhadap kebajikan warga pesara yang pernah menabur bakti kepada pasukan keselamatan negara,” katanya.

Penyerahan sumbangan itu turut disertai Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Zahaisha Juhari bersama anggota daripada Cawangan Hal Ehwal Awam Pesara Polis, Cawangan Kebajikan serta Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) IPD Bagan Datuk.

-FN

Tinggalkan komen anda