
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Penyertaan anggota veteran bersama generasi baharu dalam Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Krai (RKK) dilihat berjaya memperkukuh hubungan dan semangat kekitaan dalam kalangan anggota RELA di daerah ini, baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan 21 peserta daripada tujuh pasukan itu menjadi medium penyatuan anggota pelbagai peringkat usia menerusi aktiviti sukan dan riadah.
Presiden Hadiyatullah Ibrahim berkata penglibatan aktif anggota termasuk dari Kuala Gris membuktikan semangat kebersamaan dalam organisasi terus kukuh walaupun berbeza generasi.
“Matlamat utama Kelab RKK adalah untuk menyatukan anggota tanpa mengira usia melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Kami mahu aktiviti seperti ini menjadi platform mengeratkan ukhuwah selain memastikan anggota terus aktif dan cergas,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kelab itu juga bercadang memperluaskan penglibatan anggota menerusi pelbagai aktiviti sukan lain seperti bola sepak, futsal dan badminton pada masa akan datang.
-FN





