
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Belia Rangkatin Daerah Nabawan memperkenalkan tarian kontemporari kreatif bagi mengekalkan relevansi warisan budaya tempatan dalam kalangan generasi muda.
Yang Dipertua persatuan itu, Andy Jusit berkata tarian tersebut menggabungkan gerak seni etnik Murut, Kadazan-Dusun, Rungus dan Bajau melalui persembahan yang lebih segar.
“Kami gabungkan elemen tarian etnik supaya warisan ini dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih mudah diterima generasi muda tanpa menghilangkan identiti asal budaya etnik Sabah,” katanya kepada media semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan, di sini semalam.
Andy menjelaskan penglibatan golongan belia dalam seni tari turut membantu membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan.
Menurut Andy, kebanyakan penari terdiri daripada pelajar sekolah yang menjalani latihan secara berjadual bagi memastikan komitmen akademik mereka tidak terjejas.
“Jadual latihan disusun dengan rapi supaya tidak menjejaskan prestasi pelajaran dengan persiapan dilakukan beberapa bulan lebih awal,” katanya.
Andy berharap ibu bapa dapat memberi galakan kepada anak-anak untuk mengenali adat istiadat serta kesenian budaya sendiri agar tidak hanyut dengan hiburan moden semata-mata.
“Anak-anak hari ini lebih cenderung kepada hiburan moden dan kurang meminati kebudayaan,” katanya.
Mengulas cabaran dihadapi, Andy berkata persatuan berdepan kekangan kewangan terutama bagi menampung kos pengangkutan serta penyediaan pakaian tradisional yang tinggi.
“Kos pakaian tradisional agak tinggi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penari dalam kalangan kanak-kanak sehingga belia,” katanya.
Bagaimanapun, Andy menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada pemimpin tempatan serta Kementerian Belia dan Sukan dalam membantu menjayakan aktiviti tersebut.
“Bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu kami memastikan program dan persembahan budaya dapat diteruskan,” katanya.
-RJ-





