
Laporan/foto: SitiHajar (Perak)/Politeknik Ungku Omar
IPOH, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Program interaktif Bengkel Asas Sumo Robot: From Code to Combat, semalam, berjaya menghimpunkan pelajar berbakat dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh bagi memberi pendedahan mengenai dunia robotik, pengaturcaraan dan teknologi automasi menerusi aktiviti berpasukan serta strategi penyelesaian masalah yang menyeronokkan.
Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Salmi Che Meh, berkata kolaborasi strategik ini bertujuan memperkasakan budaya inovasi dan menyemai minat mendalam terhadap bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak di bangku sekolah lagi.
“Program bercirikan hands-on seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman teknikal, malah membentuk pemikiran kreatif, inovatif dan daya saing tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Salmi turut menyatakan bahawa Politeknik Ungku Omar sentiasa komited menjadi peneraju dalam pembangunan bakat teknologi negara.
Program tersebut turut mengadakan sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh Ts. Nur Syuhada Mohamad selaku penceramah utama bersama barisan fasilitator kelab dengan sokongan guru pengiring STAR Ipoh, Mohd Azri Sufian Mohd Joni.
Menerusi bengkel ini, para pelajar berpeluang membina, mengatur cara, dan menguji robot sumo masing-masing dalam simulasi pertandingan sebenar yang menekankan elemen kerja berpasukan serta strategi penyelesaian masalah yang menyeronokkan.
Program anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Ungku Omar menerusi Kelab IoT dan Robotik serta Kelab Teknologi Digital ini turut mencerminkan status JTMK PUO sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara selepas menyapu bersih anugerah utama dalam Premier Digital Tech Institutions (PDTI) Outstanding Award 2025 anjuran MDEC, baru-baru ini.
Antara anugerah yang diraih termasuklah Best Outstanding Department (JTMK PUO), Best Outstanding Tech Club (Kelab Teknologi Digital), Best Outstanding Faculty Member (Ts. Mazlina Md. Mustaffa) dan tempat kedua bagi kategori Outstanding Student (Muhammad Akmal Harith).
-AA-





