
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Musim kemarau dan cuaca panas dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Rawa dan Kampung Bechah Laut, di sini apabila mereka bergotong-royong mengeringkan kolam bagi menangkap ikan sungai, sekali gus menjana rezeki serta mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Para peserta bergelumang dalam lumpur mencari ikan
Aktiviti menangkap ikan itu menyaksikan peserta bergelumang lumpur bercampur tanah liat di kolam yang dikeringkan secara berperingkat, dengan pelbagai jenis ikan sungai berjaya ditangkap termasuk haruan, keli, puyu serta hidupan air lain.
Menurut jurucakap program, Mohamad Kamil, 54, usaha mengeringkan kolam tersebut dilakukan hasil perbincangan dan kesepakatan bersama penduduk tempatan dengan menggunakan tiga buah enjin air.
“Penduduk yang berminat dijemput menyertai aktiviti ini dan ikan yang berjaya ditangkap boleh dibawa pulang sebagai hasil usaha sendiri,” ujarnya ketika ditemui semasa Program Jiwa@Komuniti MADANI Bechah Laut (Sembang Santai) di Kampung Rawa, semalam.

Ismail Shafie berjaya menangkap ikan keli Afrika seberat 2 kilogram
Katanya, pertandingan mencari ikan turut dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk ikan terbesar, ikan terbanyak serta hidupan air seperti kura-kura, labi-labi dan belut.
Dalam kategori ikan terbesar, Ismail Shafie, 65, dari Kampung Rawa muncul pemenang selepas berjaya menangkap ikan keli Afrika seberat dua kilogram.
Hampir 300 orang hadir memeriahkan program yang bukan sahaja menceriakan musim kemarau, malah mengukuhkan semangat kebersamaan komuniti.
-AA-





