
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA NERUS, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Pemangku Raja Terengganu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis pelepasan jemaah haji Terengganu bagi musim haji 1447H/2026M di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Baginda dalam ucap titahnya menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada para jemaah yang terpilih sebagai tetamu Allah pada tahun ini, sambil menegaskan bahawa peluang menunaikan ibadah haji merupakan satu nikmat dan kurniaan yang amat besar serta tidak ternilai.
Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa kejayaan para jemaah menjejakkan kaki ke Tanah Suci mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan yang tinggi, manakala usaha menabung secara konsisten sejak awal melalui Tabung Haji jelas membuktikan disiplin serta istiqamah yang utuh dalam merealisasikan impian suci tersebut.
“Semangat ini wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda umat Islam agar mula merancang perjalanan haji lebih awal dengan menjadikan amalan menabung sebagai budaya berterusan,” titah Baginda.
Baginda bertitah ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal merentasi sempadan negara, sebaliknya merupakan perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan serta keinsafan yang mendalam.
-AA-





