Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Bermula Secara Kecil-Kecilan, Kini Kraf Tangan Jadi Sumber Utama Pendapatan Keluarga

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha menjual kraf tangan daripada mengkuang dan plastik yang dimulakan secara kecil-kecilan kini menjadi sumber pendapatan utama buat sebuah keluarga di Kampung Baru, di sini.

Duang Rethal Pheng, 34, yang menetap di Simpang 3 Kampung Baru, Jalan Sungai Tiang, berkata perniagaan tersebut bermula selepas menerima pinjaman permulaan sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Menurutnya, produk yang dijual sejak tiga tahun lalu terdiri daripada hasil kraf tangan penduduk tempatan selain beberapa barangan kraf tangan yang dibeli dari Thailand bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Pada awalnya saya hanya menjual beberapa jenis kraf tangan secara kecil-kecilan, namun permintaan semakin meningkat terutama bagi produk anyaman dan barangan plastik kegunaan harian,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Antara produk yang mendapat perhatian ialah bakul mengkuang, tikar, bekas simpanan serta pelbagai barangan kegunaan rumah yang dihasilkan dengan corak tradisional dan moden.

Beliau turut menjelajah ke beberapa pasar pagi sekitar Pendang dan kawasan berhampiran bagi memasarkan produknya termasuk di Tanah Merah, Kubur Panjang, Naka, Sungai Tiang, Kampung Bukit-Bukit dan Sungai Limau.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama dalam kalangan penduduk kampung yang masih menggemari produk kraf tangan tradisional kerana lebih tahan dan mempunyai nilai seni tersendiri.

Duang berharap lebih banyak pihak dapat terus menyokong pengusaha kraf tangan tempatan agar warisan seni tradisional terus dipelihara dan mampu menjadi sumber ekonomi kepada penduduk luar bandar.

-RI

Tinggalkan komen anda