Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pela Daleh Lambang Penghormatan Adat Dalam Arus Pembangunan

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Evelyn Lungan / Clarence Chin (Sarawak)

BELAGA, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Upacara Pela Daleh terus menjadi amalan penting dalam kehidupan masyarakat Orang Ulu, khususnya sebelum pelaksanaan projek pembangunan atau pembinaan di kawasan tanah adat.

Upacara Pela Daleh merupakan ritual tradisional pembersihan kawasan atau ‘mendinginkan’ tanah yang dilakukan oleh masyarakat Orang Ulu bagi memohon keizinan serta restu daripada semangat alam.

Ritual ini bertujuan untuk memastikan keselamatan para pekerja dan penduduk setempat, selain mengelakkan sebarang gangguan atau musibah sepanjang proses pembangunan dijalankan di atas tanah warisan tersebut.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang berkata pelaksanaan adat tersebut membuktikan pembangunan boleh dilaksanakan secara harmoni tanpa mengetepikan budaya masyarakat tempatan.

“Apabila adat seperti Pela Daleh dilaksanakan, ia memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa pembangunan yang dibawa tidak mengabaikan nilai budaya mereka.

“Pela Daleh bukan sekadar warisan budaya, tetapi kunci penting dalam memastikan pembangunan di tanah adat Orang Ulu dapat dilaksanakan secara berhemah, harmoni dan mampan tanpa mengabaikan nilai tradisi yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat setempat,” katanya, di sini kelmarin.

Menurut beliau, upacara tradisi itu bukan sahaja bertujuan memohon restu dan keselamatan, malah menjadi simbol penghormatan terhadap adat, budaya dan kepercayaan masyarakat setempat yang masih diamalkan hingga kini.

Bagi masyarakat Orang Ulu, tanah bukan sekadar ruang fizikal, tetapi mempunyai nilai spiritual dan identiti yang perlu dihormati sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan.

Dalam perkembangan pembangunan di kawasan pedalaman seperti Belaga, amalan Pela Daleh dilihat sebagai pendekatan terbaik dalam menghubungkan kemajuan moden dengan nilai tradisi masyarakat.

Amalan tersebut turut membantu mewujudkan persefahaman antara pihak pemaju dan komuniti setempat, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap projek pembangunan di kawasan mereka.

-RJ-

Tinggalkan komen anda