Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Dasar Ekonomi Negeri Sembilan Buahkan Pelaburan Baharu RM250 Juta

By 25 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 25 Mei (MalaysiAktif) – Dasar ekonomi dan perancangan infrastruktur strategik Negeri Sembilan terus membuahkan hasil dengan pembukaan kilang baharu Mahsuri Food Sdn. Bhd. bernilai RM250 juta di Bandar Enstek, Jumaat lepas.

Kejayaan itu membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan negeri dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan berskala besar yang stabil dan diyakini.

Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata pelaburan berimpak tinggi itu sangat penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta membangunkan modal insan di negeri tersebut.

“Pelaburan ini dijangka membuka sekitar 200 hingga 250 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ini membuktikan kita tidak sekadar mengejar angka pelaburan, malah mahu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang operasi, teknikal, kawalan kualiti serta R&D (Penyelidikan dan Pembangunan),” katanya ketika majlis perasmian tersebut.

Beliau berkata pembukaan fasiliti yang dilengkapi teknologi automasi moden itu selari dengan wawasan negeri untuk muncul sebagai peneraju utama industri makanan halal di peringkat antarabangsa.

Ia katanya bukan sahaja memperkukuh rantaian industri halal tempatan, malah bakal melonjakkan lagi nama Negeri Sembilan dalam pasaran eksport global yang semakin pesat.

Aminuddin  berkata kerajaan negeri optimis pembukaan kilang berkenaan akan menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus memacu kemampanan ekonomi Negeri Sembilan secara berterusan.

-FN

Tinggalkan komen anda