Skip to main content
Berita TempatanSarawak

DUBS Limbang Diperkasa Menerusi Penyerahan Jentera Berat

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)

LIMBANG, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Pusat terus memperkukuh kapasiti usahawan bumiputera di utara Sarawak menerusi penyerahan jentera berat kepada DUBS Cawangan Limbang, di sini semalam.

Majlis penyerahan tersebut telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Pusat Pembangunan Komuniti Melayu Limbang.

Inisiatif tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan DUBS Cawangan Limbang sebagai organisasi usahawan yang lebih berdaya saing, mampan serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail merakamkan penghargaan kepada DUBS Pusat atas komitmen berterusan membantu memperkukuh keupayaan usahawan bumiputera.

“Penyerahan jentera ini penting sebagai satu langkah strategik yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan DUBS Cawangan Limbang serta meningkatkan keupayaan ahli dalam sektor pembinaan dan infrastruktur,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan pemilikan aset seperti jentera berat akan memperkasa kontraktor bumiputera tempatan dengan meningkatkan daya saing serta membuka peluang melaksanakan projek berskala lebih besar.

Beliau menambah penggunaan jentera sendiri juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi melalui pengurangan kebergantungan kepada perkhidmatan sewaan luar.

Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan dan penyelenggaraan aset secara sistematik bagi memastikan jentera dapat digunakan secara optimum dalam jangka panjang.

“Penubuhan depo jentera penting bagi memastikan pengurusan aset yang lebih sistematik dan berkesan,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat dan Timbalan Presiden DUBS Pusat Halim Mohamad.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi DUBS Cawangan Limbang Mohd Fauzal Madeni bersama barisan jawatankuasa kepimpinan usahawan tempatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda