
Laporan/Foto: Jua Daud (Telang Usan)
LONG LAMA, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Festival Budaya Baram 2026 terus menjadi platform utama dalam memperkasakan warisan masyarakat Orang Ulu menerusi penganjuran pelbagai acara kebudayaan serta sukan tradisional yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Ahli Dewan Negara Michael Mujah Lihan berkata penganjuran aktiviti kesenian seperti yang berlangsung pada festival tersebut mampu menjadi medium penting dalam memastikan identiti komuniti itu terus dipelihara oleh generasi akan datang.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia menjadi platform memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat setempat kepada generasi muda serta pengunjung luar,” katanya ketika menyempurnakan majlis itu di sini semalam.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang dalam ucapan alu-aluannya memuji komitmen Jawatankuasa Penganjur Festival Budaya Baram 2026 yang berjaya menganjurkan festival berkenaan dengan lancar dan meriah.
“Penganjuran festival berskala besar seperti itu bukan sesuatu yang mudah, namun berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat pelbagai pihak.
“Festival ini bukan sahaja menjadi medan mengetengahkan budaya masyarakat Orang Ulu, malah berperanan memperkukuh perpaduan serta memelihara warisan budaya pelbagai kaum di kawasan Baram,” jelasnya.
Festival berkenaan turut menyaksikan penyertaan memberangsangkan dalam Pertandingan Powerboat Race 2026 yang berlangsung pada sebelah siang dan dijadualkan berterusan sehingga hari berikutnya.
Selain itu, Pertandingan Nyivan Sin kategori wanita dan lelaki serta Ratu Ibu Baram yang berlangsung di Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama malam tadi turut menjadi tumpuan utama pengunjung.
-RJ-





