Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Eksplorasi Biodiversiti CFS Johor Perkukuh Pemuliharaan Hutan Negara

By 19 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Mersing)

MERSING, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha pemuliharaan biodiversiti negara terus diperkasa menerusi penganjuran Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing bermula semalam hingga 22 Mei ini.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) itu menjadi platform penting bagi pengumpulan data saintifik berkaitan status kesihatan hutan serta taburan flora dan fauna di Semenanjung Malaysia.

Eksplorasi berkenaan melibatkan penyertaan 120 individu daripada pelbagai latar belakang dan disiplin ilmu termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata program julung kali itu menterjemah komitmen Kerajaan MADANI menerusi pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine 2022 (PIRECFS 2022).

“Pendekatan ini penting bagi memperkukuh usaha pemeliharaan habitat dan pengurusan sumber biodiversiti negara secara lebih sistematik serta mampan,” katanya ketika ditemui di Dewan Permata Marjan Politeknik Mersing, di sini hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, pemantauan biodiversiti secara menyeluruh itu mampu membantu pihak berkaitan memahami kefungsian serta ketersambungan koridor hutan dalam negara secara optimum.

Selain pengumpulan data, program tersebut turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara JPNJ dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi pembangunan Living Lab Central Forest Spine, serta pengenalan Program Sahabat CFS bagi meningkatkan penglibatan komuniti setempat terhadap perlindungan hutan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon; Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) JPSM Roslan Rani dan Pengarah Perhutanan Negeri Johor Mohd Syahrir Azrin Salleh.

-AA-

Tinggalkan komen anda