Skip to main content
Berita TempatanSabah

EYECARE4U Kesan Risiko Kebutaan Penduduk Pedalaman

By 2 Mei 2026Mei 4th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau melaksanakan program outreach EYECARE4U di kawasan pedalaman bagi mengesan masalah penglihatan serta mencegah risiko kebutaan dalam kalangan penduduk.

Pegawai Perubatan Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau, Dr. Sabrina Lizy Fernandez berkata program tersebut mengutamakan warga emas yang lebih terdedah kepada penyakit katarak dan komplikasi diabetes.

Beliau berkata teknologi fundus photography (teknik pengimejan perubatan khusus yang digunakan untuk mengambil gambar bahagian dalam mata, terutamanya bahagian belakang yang dipanggil fundus) turut digunakan untuk pengesanan awal penyakit glaukoma serta retinopati diabetik.

“Melalui saringan awal ini, kami dapat mengenal pasti pesakit yang memerlukan rawatan susulan di hospital dengan lebih pantas,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Sekolah Kebangsaan Salinatan, di sini hari ini.

Menurut Dr. Sabrina, kerjasama daripada Ahli Parlimen Pensiangan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Sabah Credit Corporation membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata sumbangan kanta daripada penaja berjaya meringankan beban pesakit katarak memandangkan kos kanta gantian Intraokular Lens (IOL) boleh mencecah RM800 seunit.

Sementara itu, penduduk Kampung Salinatan, Antukar Andipoh, 40, menyifatkan program tersebut memberi manfaat besar khususnya dalam mengurangkan kos logistik ke hospital.

“Sekiranya kami ke Hospital Keningau, kos perjalanan sahaja boleh mencecah RM500, jadi inisiatif ini memang sangat meringankan beban penduduk pedalaman,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda