Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pesta Kaamatan Medium Kukuh Perpaduan Kaum di Sabah

By 2 Mei 2026Mei 4th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Najib Juhanis/Jeffren Malaning (Papar)

PAPAR, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Pesta Kaamatan merupakan manifestasi rasa syukur atas hasil tuaian sekali gus menjadi medium penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata keunikan negeri ini terletak pada kepelbagaian adat resam dan budaya yang menjadi tunjang keharmonian rakyat sejak sekian lama.

Menurut beliau, semangat kebersamaan yang dicerminkan melalui sambutan Kaamatan bukan sahaja meraikan tradisi, malah memupuk nilai hormat-menghormati antara etnik.

“Perbezaan kaum tidak pernah menjadi penghalang, sebaliknya menjadi asas kepada kekuatan dan keharmonian rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini semalam.

Hajiji berkata pemilihan Papar sebagai lokasi pelancaran adalah signifikan memandangkan daerah tersebut merupakan antara jelapang padi utama serta kaya dengan nilai budaya.

Beliau menambah, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ mencerminkan kepentingan mengekalkan kestabilan sosial dalam mendepani cabaran dunia yang kompleks.

“Sebagai masyarakat yang bersatu padu, semangat perpaduan perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan demi masa depan negeri,” katanya.

Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan 2026 dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.

Majlis tersebut dijangka menarik ribuan pengunjung termasuk pelancong luar bagi menyaksikan keunikan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Penganjuran secara besar-besaran ini turut menjadi platform bagi mempromosikan sektor pelancongan budaya di peringkat antarabangsa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda