Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Industri Insurans Am Catat Untung RM1.2 Bilion, Segmen Bukan Motor Pacu Prestasi

By 23 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Lim Poh Choo (Sarawak)

KUCHING, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Industri insurans am Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatat keuntungan penajajaminan sebanyak RM1.2 bilion, didorong pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen perniagaan bukan motor.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, segmen bukan motor menjadi penyumbang utama kepada pencapaian tersebut menerusi prestasi positif beberapa kategori perlindungan utama.

Perkara itu dikongsikan beliau dalam satu taklimat media mengenai prestasi keseluruhan industri insurans yang berlangsung, kelmarin.

“Sebaliknya, prestasi segmen bukan motor adalah sangat kukuh, terutamanya insurans kebakaran, insurans marin, penerbangan dan transit (MAT), serta insurans kemalangan diri (PA), yang memberikan sumbangan positif kepada prestasi penajajaminan keseluruhan.

“Antaranya, insurans kebakaran mencatatkan keuntungan penajajaminan sebanyak RM700.8 juta dengan nisbah gabungan hanya pada 69.5 peratus,” katanya.

Selain insurans kebakaran, sektor bukan motor lain seperti insurans kemalangan diri serta marin, penerbangan dan transit turut menyumbang kepada pertumbuhan positif industri berkenaan.

Bagaimanapun, industri itu masih berdepan cabaran susulan peningkatan keseriusan tuntutan kebakaran serta jurang perlindungan banjir yang masih belum diatasi sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, segmen motor di Malaysia Timur pula menunjukkan trend berbeza apabila nisbah tuntutan direkodkan lebih rendah berbanding kawasan lain. Namun, walaupun jumlah kes tuntutan lebih sedikit, kos purata bagi setiap tuntutan tunggal adalah lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, PIAM menegaskan komitmen mereka bersama syarikat reasurans untuk terus memperluas skop perlindungan bagi memastikan aset, kelangsungan hidup dan kestabilan perniagaan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda