Skip to main content
Berita TempatanPutrajaya

Isu Air: Operasi Pembenihan Awan Dipertingkat

By 6 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azza Aziz/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Operasi pembenihan awan akan dipertingkatkan sebagai usaha berdepan cuaca panas ketika ini di beberapa lokasi dalam negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

“Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai isu air di beberapa negeri yang berada pada tahap kritikal, terutama di kawasan empangan air, serta langkah-langkah mitigasi termasuk usaha pembenihan awan.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertingkatkan usaha pembenihan awan menggunakan jentera masing-masing,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada Sidang Media Mingguan, di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan operasi pembenihan awan tersebut akan dibuat melalui penyelarasan dan peruntukan yang disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Terdahulu, Anwar telah mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri-negeri yang berada pada tahap kritikal khususnya di Kedah dan Perlis.

Anwar berkata langkah itu adalah keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa, selain menyarankan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik dalam memastikan kelancaran operasi.

Sementara itu, media turut melaporkan paras empangan di utara Semenanjung terus berada pada tahap kritikal dengan Empangan Timah Tasoh di Perlis kekal dalam zon merah meskipun mencatatkan peningkatan kecil.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Amir Budiman Abdullah berkata, paras air hanya meningkat kepada 26.31 meter namun masih di bawah paras kritikal iaitu 26.50 meter.

Di Kedah, keadaan turut membimbangkan apabila Empangan Muda kekal pada paras rendah iaitu sekitar 9.24 peratus daripada kapasiti, sementara Empangan Beris pula dilaporkan berada pada tahap amaran, manakala Empangan Ahning mencatatkan paras sederhana.

-FN

Tinggalkan komen anda