
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Kerjasama Sosio-Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO) mempergiat usaha menangani jenayah rentas sempadan melalui pengukuhan koordinasi penguatkuasaan antara Sarawak dan Kalimantan Barat.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata usaha tersebut dizahirkan menerusi lawatan bersama ke kawasan sempadan bagi menilai kemudahan sedia ada serta merangka pembangunan infrastruktur di Sungai Kelik.
“Tinjauan ini membolehkan kita melihat secara dekat kemudahan di kedua-dua belah wilayah bagi perancangan pembangunan sempadan yang lebih efektif demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mahra, usaha membanteras isu penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pemerdagangan manusia tetap menjadi agenda utama yang memerlukan tindakan bersepadu.
Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Jawatankuasa Kerja Bidang Keselamatan dan Pengamanan serta Pengurusan Sempadan Perbatasan memulakan pergerakan dari Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Platun Taktikal Lachau.
Delegasi seterusnya meninjau kawasan sempadan Lachau–Kalimantan Barat sebelum meneruskan lawatan ke Pos Sungai Kelik yang dikendalikan oleh Satuan Tugas Pengaman Perbatasan Republik Indonesia (SATGAS PAMTAS RI) di Kabupaten Sintang.
Mahra menjelaskan penilaian di lapangan membolehkan pihak terlibat mengenal pasti keperluan penambahbaikan pos kawalan, laluan rondaan serta keupayaan logistik bagi menyokong operasi penguatkuasaan.
“Keadaan muka bumi yang mencabar memerlukan pendekatan strategik termasuk penggunaan teknologi bagi mengekang jenayah, namun aspek pembangunan fizikal juga tidak boleh diabaikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendekatan holistik yang mengimbangi aspek keselamatan dan pembangunan sosioekonomi penting bagi mengurangkan risiko keterlibatan masyarakat setempat dalam aktiviti jenayah.
Tambah Mahra, platform SOSEK MALINDO akan terus diperkukuh bagi memastikan kawasan sempadan kekal aman, stabil dan makmur sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.
-RJ-





