
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI (JRM) terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di negeri ini kerana dilihat mampu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah sekali gus meringankan kos sara hidup.
Salmiah Hussin, 53, dari Kampung Guar Syed Alwi, berkata program tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk kampung kerana jualan diadakan berhampiran kawasan kediaman mereka.
“Pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI yang dibawa terus ke kampung memudahkan penduduk mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah tanpa perlu keluar ke bandar atau pekan.
“Jualan Rahmah MADANI ini sangat membantu kami. Kami tidak perlu lagi keluar jauh untuk membeli barang keperluan dan secara tidak langsung dapat menjimatkan wang serta petrol,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Kamal Samah, 72, dari Taman Ira berharap agar pelaksanaan program itu dapat dipertimbangkan pada waktu malam bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk khususnya golongan bekerja hadir membeli barangan keperluan.
“Ramai penduduk tidak berkesempatan hadir sekiranya jualan diadakan pada waktu siang hari bekerja. Jika boleh, program ini diadakan pada waktu malam supaya lebih ramai dapat membeli barang keperluan pada harga murah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Norhasyikin Abu Hasan, 39, dari Kampung Sungai Padang, berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa menerusi media sosial Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jadual Program Jualan Rahmah MADANI.
Setakat awal Mei, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis telah melaksanakan sebanyak 21 program Jualan Rahmah MADANI di tiga kawasan Parlimen di negeri ini.
-AA-





