Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Menyingkap Makna Warna Kraf Manik, Busana Etnik Bidayuh

By 11 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Felix Harus (Bau)

BAU, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Kraf manik dan busana tradisional masyarakat Bidayuh bukan sekadar perhiasan estetik, malah menjadi lambang identiti, sejarah serta kepercayaan yang diwarisi turun-temurun.

Pengusaha kraf dari Kampung Suba Buan, Elia Ben, 43, berkata setiap warna yang digunakan dalam penghasilan manik dan pakaian tradisional Bidayuh mempunyai simbolisme tersendiri.

Menurut Elia, warna hitam yang sering dijadikan asas pada busana tradisional melambangkan kekuasaan ketuhanan selain dipercayai berfungsi sebagai pelindung spiritual.

Elia menjelaskan warna merah pula menggambarkan keberanian dan semangat pahlawan masyarakat Bidayuh dalam mempertahankan tanah air.

“Warna merah juga menjadi simbol amaran kepada musuh agar tidak mengganggu,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Elia menambah warna putih membawa maksud kesucian jiwa, kesabaran dan ketenangan dalam kehidupan bermasyarakat.

Menurut Elia, warna kuning melambangkan semangat yang berkobar-kobar selain menambahkan elemen keceriaan dan keanggunan pada busana.

“Gabungan warna-warna tersebut menjadikan kraf manik dan busana tradisional Bidayuh mempunyai identiti visual yang kuat serta sarat dengan nilai budaya dan sejarah,” katanya.

Elia menegaskan warna-warna tersebut bukan sahaja untuk kecantikan luaran, tetapi mencerminkan jati diri dan penghormatan terhadap semangat nenek moyang.

Keunikan kraf manik etnik Bidayuh turut membuktikan tingginya falsafah pemikiran masyarakat peribumi Sarawak dalam mengekalkan warisan budaya yang terus relevan merentasi generasi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda