
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari (Bachok)
BACHOK, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Bachok teruja mendekati dunia kepolisan menerusi Program Lawatan Sambil Belajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, semalam.
Program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tabika mengenai peranan dan fungsi pasukan polis dalam menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk persembahan demonstrasi kemahiran seni mempertahankan diri dan teknik tempur jarak dekat menggunakan baton berbentuk T (T-Baton), lawatan ke Bahagian Trafik dan Unit Kereta Peronda (MPV), pameran serta tinjauan sekitar kawasan IPD.
Rombongan disertai seramai 70 murid dan guru pengiring disambut Ketua Polis Daerah Bachok Supt. Mohamad Ismail Jamaluddin bersama pegawai dan anggota polis IPD Bachok.
Menurut Supt. Mohamad Ismail, program seumpama ini penting dalam membina kefahaman dan keyakinan kanak-kanak terhadap pihak berkuasa.

Mohamad Ismail dan pasukan menerima kehadiran murid Tabika KEMAS Daerah Bachok.
“Lawatan seperti ini mampu memupuk sikap disiplin, menghormati undang-undang serta mengeratkan hubungan polis dan masyarakat sejak usia muda,” katanya.
Sementara itu, guru pengiring Tabika KEMAS Bachok Ruslaini Mat Ail, berkata program berkenaan memberi pengalaman baharu yang bermakna kepada murid.
-RI





