Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kempen Basmi Infestasi Tikus Tingkat Kesedaran Kesihatan Awam di Machang

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid (Machang)

MACHANG, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Kempen Membasmi Infestasi Tikus Peringkat Jajahan Machang Tahun 2026 dilaksanakan sebagai usaha bersepadu pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta tahap kebersihan persekitaran.

Kempen berkenaan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya infestasi tikus yang boleh menjadi punca penularan penyakit seperti leptospirosis, pencemaran persekitaran dan keracunan makanan, khususnya di kawasan tumpuan awam dan premis perniagaan.

Wan Adzmani menyeru orang ramai mengamalkan pengurusan persekitaran yang bersih bagi mengurangkan risiko infestasi.

Setiausaha Majlis Daerah Machang Wan Adzmani Wan Othman, berkata penganjurannya bertujuan menekankan tanggungjawab bersama semua pihak dalam memastikan kebersihan kawasan kediaman, pasar, premis perniagaan dan tempat awam sentiasa terpelihara bagi mengelakkan pembiakan tikus.

“Kempen ini bertujuan membentuk sikap peka masyarakat terhadap aspek kebersihan serta mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan bebas daripada ancaman penyakit bawaan tikus,” katanya ketika berucap mewakili Yang Dipertua Majlis Daerah Machang pada majlis pelancaran di Perkarangan Pasar Besar Machang, semalam.

Beliau turut menyeru orang ramai mengamalkan pengurusan sisa pepejal yang sistematik, tidak membuang sampah merata-rata serta memastikan longkang dan persekitaran sentiasa bersih bagi mengurangkan risiko infestasi.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan awam, pemeriksaan premis, pameran kesihatan, ceramah kesedaran, walkabout serta demonstrasi kaedah pengawalan tikus yang selamat dan berkesan.

-RI

Tinggalkan komen anda