
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 3 Mei (MalaysiaAktif) — Kanak-kanak lelaki, Law Ching Sing, yang dilaporkan hilang sejak 28 April lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat awal pagi tadi.
Pihak Pengurusan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman (RKKDAASA) memaklumkan, mangsa ditemui kira-kira jam 1.30 pagi hasil maklumat orang awam serta gerakan pencarian bersepadu.
Menurut kenyataan tersebut, penemuan mangsa pada hari kelima pencarian sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara rasmi.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk penduduk setempat, agensi keselamatan serta kakitangan institusi terbabit,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Sejurus ditemui, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap fizikalnya berada dalam keadaan baik.
Pihak institusi akan melaksanakan penilaian dalaman serta menyediakan sokongan kaunseling bagi menjaga kesejahteraan emosi dan psikologi kanak-kanak berkenaan.
Terdahulu, mangsa yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilaporkan hilang ketika berada di kawasan sekolah pada Selasa lalu.
Operasi SAR sebelum ini turut melibatkan penggunaan teknologi dron bagi meliputi kawasan belukar tebal dan zon sukar diakses di sekitar daerah ini.
-RJ-





