
Laporan/foto: Hamidah Len/Johnny Kimlon (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI menyantuni 43 keluarga B40 dari Kampung Gentisan dan Kampung Rampayan, di sini semalam.
Melalui program itu, sumbangan Kotak Kasih MADANI yang mengandungi keperluan asas disalurkan kepada penerima bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian.
Penerima bantuan, Seri Intan Nasarudin, 50, berkata sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Saya bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini sebagai tanda keprihatinan berterusan pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui sempena Program Ziarah Kasih di Kampung Rampayan.
Seri Intan yang berniaga kuih secara kecil-kecilan berharap kerajaan terus memberi perhatian kepada golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah pada masa akan datang.
Program tersebut diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Parlimen Sepanggar.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Rafe’e Jaffree bersama Pegawai Perhubungan Parlimen Dewan Undangan Negeri Darau, Baslan Saini.
Orang ramai dijemput menghadiri program kemuncak Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI di Padang Sekolah Kebangsaan Talungan, Telipok pada Sabtu ini yang dijangka dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
-RJ-





