Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKISPerlis

KIS 2026 Perkasa Kesedaran Digital Masyarakat

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar

KANGAR, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) 2026 bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap penggunaan Internet secara selamat, bertanggungjawab dan beretika.

Pengarah MCMC Negeri Perlis, Norrazlina Nordin berkata pendekatan kempen tahun ini lebih dekat bersama komuniti menerusi pelaksanaan Karnival Komuniti di peringkat kampung, mukim dan daerah bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat difahami semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, peningkatan kes penipuan dan judi dalam talian menunjukkan pentingnya masyarakat memahami risiko siber serta langkah perlindungan yang betul.

“Melalui pendekatan lebih interaktif seperti simulasi scam, demonstrasi Parental Control Tools dan sesi hands-on, masyarakat bukan sahaja mengetahui risiko tetapi mampu melindungi diri serta keluarga dengan lebih berkesan,” katanya pada sesi rakaman Influencer@Japen di Pejabat SKMM Perlis, baru-baru ini.

Beliau berkata kempen di negeri Perlis turut memberi fokus kepada ibu bapa, guru dan komuniti kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat penggunaan Internet yang selamat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Pada tahun 2025, secara keseluruhan termasuk Perlis, kempen tersebut berjaya dilaksanakan di 8,979 sekolah seluruh negara melibatkan 420,290 murid selain 536 program komuniti dengan penyertaan lebih 412,000 peserta.

“Kerjasama bersama komuniti dan pengaruh media sosial akan terus diperkukuh bagi memperluas advokasi keselamatan Internet secara lebih berkesan di peringkat akar umbi,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda