
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Penerapan nilai adab dan tatasusila harus dijadikan asas pembinaan kehidupan terutamanya dalam kalangan belia masa kini, kata Ahli Parlimen Kuala Pilah Dato’ Adnan Abu Hasan.
Beliau berkata Rukun Negara menerusi prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan juga menekankan soal adab yang menurutnya adalah tiang dalam mendepani kepelbagaian isu global kini.
“Negara kita dibina berasaskan integrasi kaum, seiring dengan prinsip kelima tersebut. Maka, belia dilihat sebagai salah satu asas pentadbiran yang boleh diketengahkan,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Hari Belia Negara 2026 Peringkat Daerah Kuala Pilah di Kolej Yayasan Negeri Sembilan, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan Mohd Qayyum Abd Jalil, berkata program tersebut memberi ruang kepada golongan belia untuk terus aktif dan menyumbangkan tenaga serta berdaya saing dalam memainkan peranan penting untuk pembangunan masyarakat selaras dengan tema ‘Menggerak Belia MADANI’.
Program yang dihadiri kiran-kira 500 orang itu dimulakan dengan fun walk di sekitar kawasan kampung, pertandingan bola sepak robotik, pertandingan sepakan penalti, pameran reruai dari agensi yang terlibat seperti Parlimen Belia, Wataniah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
-RI





