Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kempen MPP Galak Penduduk Hargai Nilai Barangan Terpakai

By 10 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Kempen Beli Balik 2026 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Program yang dijalankan secara berkala itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pengurusan sisa serta mendidik komuniti supaya lebih menghargai nilai barangan terpakai.

Kempen dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk pasar raya Emart Batu Kawa dan vendor tempatan bagi memberi peluang kepada penduduk membawa pelbagai bahan kitar semula untuk dikumpulkan.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai berkata sambutan orang ramai terhadap program berkenaan amat memberangsangkan sehingga ia kini menjadi antara program komuniti utama yang dinanti-nantikan setiap bulan.

“Ramai yang sebelum ini menganggap barang terpakai sebagai sampah tetapi sebenarnya masih boleh dikitar semula dan memberi manfaat kepada alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini semalam.

Tan Kai menjelaskan pembelian minyak masak terpakai pada harga RM3 sekilogram dilihat mampu menarik minat masyarakat untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup lestari.

Sementara itu, penduduk kawasan Batu Kawa, Patricia Jonathan, 56, berkata dia mula mengumpul minyak masak terpakai di rumah sejak awal tahun sebelum dijual semasa kempen anjuran MPP.

“Daripada kita membuang minyak terpakai ke dalam parit hingga menyebabkan parit tersumbat, elok dijual kerana sekurang-kurangnya dapat menambah wang belanja dapur,” katanya.

MPP turut menekankan bahawa program seperti ini selari dengan agenda pembangunan mampan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Dengan kerjasama berterusan pihak swasta dan komuniti, pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian akan terus diperluaskan oleh pihak majlis dari semasa ke semasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda