
Laporan/foto: Nurulaini (Kulai)
KULAI, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Anak-anak autisme mempunyai potensi tersendiri yang perlu diberikan perhatian, sokongan dan peluang sewajarnya agar mereka mampu berkembang secara positif dalam masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting dalam memastikan golongan tersebut terus mendapat sokongan yang diperlukan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Autisme dan Bulan Pemakanan 2026 Peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Kulai yang berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 300 peserta di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai, di sini semalam.
“Program seumpama ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme serta kepentingan pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya lebih prihatin dan bersama-sama mewujudkan persekitaran yang inklusif serta menyokong perkembangan kanak-kanak autisme demi kualiti hidup yang lebih baik.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang program termasuk reruai kesihatan, program intervensi, stimulasi sensori, persembahan bakat, konsultasi bersama pakar perubatan kanak-kanak serta demonstrasi memasak sihat.
Pada majlis sama, Arthur turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kulai sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan program kesedaran kesihatan dan kebajikan komuniti di daerah itu.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kulai itu diadakan dengan kerjasama Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, Kiwanis International, MindCare, Alpha Idealistic Education, MediKids dan Global Hearing Care Centre.
-AA-





