Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Raja Muda Selangor Tinjau Usaha Pulih Air Terjun Sungai Gabai

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syafiq Saleh/Juliana Jamri (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat melawat Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat, di sini sempena sesi lawatan Projek Angkat Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 Tahun 2026 bagi daerah itu, semalam.

Baginda yang diiringi Orang-orang Besar Istana turut meninjau keadaan semasa kawasan rekreasi Air Terjun Sungai Gabai yang masih ditutup selepas mengalami kerosakan teruk pada pelbagai kemudahan dan infrastruktur akibat banjir besar melanda Hulu Langat pada 2021.

Turut mengiringi baginda ialah EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail; EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin; Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz; Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman serta Pegawai Daerah Hulu Langat, Mohd Jusni Hashim.

Dalam lawatan tersebut, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad turut menyampaikan taklimat ringkas berhubung keadaan semasa Air Terjun Sungai Gabai selain cadangan usaha pemuliharaan kawasan berkenaan.

Sementara itu, Johan berkata, beliau berasa bertuah apabila Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli meninjau sendiri keadaan Air Terjun Sungai Gabai.

“Baginda turut menitahkan supaya kajian serta cadangan penambahbaikan kawasan berkenaan disegerakan agar Air Terjun Sungai Gabai dapat dibangunkan semula sebagai pusat rekreasi dan pelancongan yang mampu menarik pengunjung tempatan serta luar negara,” katanya.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan daerah Hulu Langat.

-AA-

Tinggalkan komen anda