
Laporan/foto: Iswandi Kassim/KPDN Sri Aman (Sri Aman)
SRI AMAN, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membendung ketirisan subsidi serta aktiviti penyeludupan di peringkat akar umbi.
Operasi pemantauan bersepadu dijalankan melibatkan premis perniagaan dan stesen minyak di sekitar kawasan Sri Aman bagi memperkasa sistem kawalan rantaian bekalan.
Ketua Cawangan Qartinee Mohamad Esa berkata pendekatan penguatkuasaan kini lebih responsif berasaskan data dan analitik risiko bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan.
“Isu seperti ketirisan subsidi, pembelian berulang berskala besar dan penyeludupan rentas sempadan kini memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih adaptif serta berteknologi.
“Pendekatan penguatkuasaan masa kini diperkukuh dengan integrasi sistem pemantauan pintar bagi membina ekosistem perdagangan yang lebih telus serta selamat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Beliau menegaskan KPDN Sri Aman tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyalahgunakan subsidi kerajaan sehingga menjejaskan kestabilan bekalan tempatan.
“Subsidi kerajaan adalah hak rakyat dan sebarang percubaan untuk menyeleweng atau mengeksploitasi sistem ini akan ditangani dengan tindakan tegas berdasarkan undang-undang,” katanya.
Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui Portal e-Aduan atau talian 083-323836 atau menerusi WhatsApp Aduan Pengguna di talian 019-8488000 untuk tindakan segera pihak berkuasa.
-RJ-





