Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jualan Rahmah MADANI Bergerak Bantu Penduduk Sri Aman

By 7 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/KPDN Sri Aman (Sri Aman)

SRI AMAN, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Inisiatif Jualan Rahmah MADANI Bergerak terus menjadi talian hayat kepada penduduk luar bandar di Sarawak bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Program yang berlangsung di Dewan Tok Padela Sad, Kampung Tanjung Bijat hari ini misalnya menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Parlimen Sri Aman dan Bukit Begunan.

Menerusi pelaksanaan program itu, pengguna menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, gula serta tepung.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman Qartinee Mohamad Esa berkata pendekatan secara bergerak merupakan kaedah efektif bagi memastikan manfaat inisiatif kerajaan dinikmati secara menyeluruh.

“Pelaksanaan secara bergerak ini membolehkan kita mendekati komuniti di peringkat akar umbi tanpa mereka perlu menanggung kos perjalanan ke bandar,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan pemantauan program berkenaan, di sini hari ini.

Menurut Qartinee, inisiatif tersebut menjadikan akses kepada barangan asas lebih mudah serta mampu milik khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman.

Beliau menjelaskan program itu merupakan sebahagian daripada langkah strategik kerajaan dalam menstabilkan harga barangan dan memastikan bekalan mencukupi bagi melindungi kesejahteraan rakyat.

Tambah Qartinee, kerjasama erat antara KPDN dan rakan industri memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program serta kestabilan rantaian bekalan tempatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda