Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pematuhan Piawaian Halal Tingkat Daya Saing Produk Tempatan

By 12 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Pematuhan terhadap piawaian halal bukan sahaja memenuhi tuntutan syariah, malah menjadi pemangkin penting memperkukuh daya saing produk usahawan tempatan.

Pegawai Tadbir Pejabat Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sri Aman, Kamarulzaman Kawi berkata pemerkasaan kesedaran terhadap integriti halal perlu dilaksanakan secara berterusan.

Kamarulzaman berkata usaha itu penting bagi memastikan setiap rantaian bekalan makanan mematuhi standard kualiti serta pensijilan yang ditetapkan.

“Penghayatan konsep Halalan Thoyyiban secara menyeluruh bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah memperkukuh kredibiliti sesebuah perniagaan daripada sebarang keraguan.

“Penganjuran Kursus Latihan Kesedaran Halal merupakan platform strategik dalam meningkatkan kefahaman pengusaha berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pensijilan halal,” katanya ketika menyampaikan taklimat di Dewan Khulafa Ar-Rasyidin, Masjid Bandar Sri Aman, di sini hari ini.

Kamarulzaman menegaskan bahawa JAIS Sri Aman komited menyediakan bimbingan kepada komuniti perniagaan tempatan agar lebih bersedia menembusi pasaran ekonomi halal yang kompetitif.

“Kita berharap lebih banyak produk keluaran Sri Aman berjaya memperoleh pensijilan halal yang sah dan diiktiraf,” katanya.

Kamarulzaman menambah kejayaan memperoleh sijil halal mencerminkan tahap profesionalisme serta keupayaan usahawan tempatan dalam memenuhi kehendak industri semasa.

Beliau memberitahu usaha memperkukuh ekosistem halal ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

-RJ-

Tinggalkan komen anda