
Laporan/Foto: Evelyn Lungan (Belaga)
BELAGA, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Tokoh Orang Ulu, Dato Sri Bo’ Tajang Laing yang meninggal dunia pada 24 April lepas ketika berusia 100 tahun menerima penghormatan terakhir masyarakat Orang Ulu dari Belaga serta Baram, kelmarin sebelum dikebumikan semalam.
Upacara Tevara atau malam terakhir penghormatan diadakan mengikut adat tradisi Orang Ulu di Uma Nyaving, Sungai Asap, di sini sebelum upacara pengebumian di tanah perkuburan keluarga di Uma Nyaving.
Tempoh penghormatan berlangsung selama 16 hari di rumah panjang bagi memberi ruang kepada ahli keluarga, kenalan dan masyarakat memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang merupakan antara pemimpin terawal masyarakat pedalaman Sarawak itu sebelum upacara pengebumian disempurnakan dalam tempoh keseluruhan 18 hari.
Beliau mencipta sejarah sebagai Menteri Orang Ulu pertama dilantik dalam kabinet Kerajaan Sarawak, dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Negeri Sarawak sekitar tahun 1963 hingga 1970 termasuk memegang portfolio pertanian dan perhutanan.
Sepanjang hayatnya, beliau hebat memperjuangkan pembangunan komuniti Orang Ulu dan kebajikan masyarakat luar bandar sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sarawak selain turut berjasa dalam sejarah perjuangan pembentukan Malaysia.
Lohong Tajang, 67, anak sulung kepada mendiang Tajang, menyifatkan mendiang sebagai seorang yang tegas, berwibawa serta banyak membimbing beliau dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran urus masyarakat.
Lohong yang juga Ketua Kaum (Maren Uma) di Uma Nyaving berkata banyak ilmu dan nilai kepimpinan yang diperolehnya adalah hasil tunjuk ajar bapanya sejak dari kecil.
“Beliau bukan sahaja seorang ayah, tetapi juga guru dalam kehidupan saya. Banyak perkara tentang tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat saya belajar daripadanya.
“Kami amat menghargai kehadiran semua yang datang dari jauh. Ini jelas menunjukkan betapa besar impak dan jasa beliau kepada masyarakat,” katanya.
-FN





